Halaman Terbaru

Sunday 3 September 2017

Riyadhus Shalihin Bab 99 -_- Sunnahnya Mendahulukan Anggota Yang Kanan Dalam Segala Sesuatu Yang Termasuk Dalam Bab Memuliakan (Yakni Kerana Mulianya Anggota Kanan Itu) Misalnya Ketika Berwudhu', Mandi, Tayammum, Mengenakan Pakaian, Terompah, Sepatu, Celana, Masuk Masjid, Bersiwak (Bersugi), Bercelak, Memotong Kuku, Mencukur Kumis, Mencabut Rambut Ketiak, Mencukur Kepala, Bersalam Dari Shalat, Makan, Minum, Berjabatan Tangan, Menjabat Hajar Aswad, Keluar Dari Jamban, Mengambil, Memberi Dan lain-lain Yang Semakna Dengan Itu, Juga Disunnahkan Mendahulukan Anggota Yang Kiri Dalam Hal-hal Yang Sebaliknya Di Atas Seperti Berhingus, Berludah Di Sebelah Kiri, Masuk jamban, Keluar Dari Masjid, Melepaskan Sepatu, Terompah, Celana, Pakaian Serta Bercebok Dan Mengerjakan Apa-apa Yang Dianggap Kotor Dan Yang Serupa Dengan Itu

Allah Ta'ala berfirman:
"Maka barangsiapa yang diberi catatan amalnya - lalu diterima - dengan tangan kanannya, maka orang itu berkata:"Nah, cuba bacalah olehmu semua akan catatan amalku ini," sampai habisnya beberapa ayat. (al-Haqqah: 19)

Allah Ta'ala juga berfirman:
"Adapun orang-orang golongan kanan. Apakah orang-orang golongan kanan itu? Dan orang-orang golongan kiri. Apakah orang-orang golongan kiri itu?" (al-Waqi'ah: 8-9)

718. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu gemar sekali mendahulukan anggota kanannya dalam segala hal yang dilakukan olehnya, baik dalam bersucinya, menyisir rambutnya serta mengenakan terumpahnya." (Muttafaq 'alaih)

719. Dari Aisyah radhiallahu 'anha juga, katanya: "Tangan Rasulullah s.a.w. yang kanan itu beliau gunakan untuk bersuci dan makan, sedang tangan beliau s.a.w. yang kiri itu untuk sesuatu yang dilakukan dalam jamban - seperti bercebok (membasuh air kecil dan air besar), mengambil batu dan menghilangkan kotoran - serta apa-apa yang merupakan kotoran - seperti berludah, beringus dan sebagainya."
Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan lain-lainnya dengan isnad shahih.

720. Dari Ummu 'Athiyyah radhiallahu 'anha bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda kepada kaum wanita dalam memandikan puterinya yakni Zainab - atau Ummu Kultsum di waktu wafatnya - radhiallahu 'anha: "Dahulukanlah olehmu semua anggota-anggotanya yang bahagian kanan serta tempat-tempat berwudhu' daripada tubuhnya itu." (Muttafaq 'alaih)

721. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila seseorang dari engkau semua mengenakan terompah, maka hendaklah mendahulukan yang kanan dan apabila melepaskannya, maka dahulukanlah yang kiri. Hendaklah yang kanan itu yang pertama di antara kedua kaki yang dikenakan terompah dan yang terakhir ketika dilepaskan." (Muttafaq 'alaih)

722. Dari Hafshah radhiallahu 'anha bahawasanya Rasulullah s.a.w. menggunakan anggota kanannya untuk makan, minum dan mengenakan pakaiannya serta menggunakan anggota kirinya untuk yang selain di atas itu." (Riwayat Abu Dawud dan lain-lain)

723. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila engkau semua mengenakan pakaian atau berwudhu', maka dahulukanlah anggota-anggota kananmu."

Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dengan isnad yang shahih.

724. Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. datang di Mina, lalu mendatangi jamrah, kemudian melemparnya, terus datang di rumahnya di Mina dan menyembelih korban. Selanjutnya beliau s.a.w. bcrsabda kepada tukang cukur rambut: "Ambillah - kepala untuk dicukur." Beliau s.a.w. menunjukkan ke bahagian sebelah kanannya kemudian bahagian sebelah kirinya, kemudian diberikan kepada para manusia. (Muttafaq 'alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan: "Ketika beliau s.a.w. sudah melempar jamrah dan menyembelih kurbannya serta bercukur, beliau memberikan bahagian kepala sebelah kanannya, lalu tukang cukur itu mencukurnya. Kemudian beliau mengundang Abu Thalhah al-Anshari r.a. lalu memberikan rambutnya itu kepadanya. Seterusnya beliau memberikan bahagian kepala sebelah kirinya dan beliau menyabdakan: "Cukurlah!" Tukang cukur itu mencukurnya, lalu memberikan rambutnya itu kepada Abu Thalhah dan beliau bersabda: "Bahagikanlah ini kepada orang banyak."

No comments: