Allah Ta'ala berfirman:
"Dan barangsiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan suci
dari Allah, maka itulah yang terbaik baginya di sisi
Tuhannya." (al-Haj: 30)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Jikalau engkau memberikan pertolongan kepada agama Allah maka Allah
pasti memberikan pertolongan kepadamu semua dan menetapkan kaki-kakimu."
(Muhammad: 7)
Dalam bab ini Hadis-hadisnya termasuklah Hadis Aisyah yang terdahulu
dalam bab Memaafkan.
647. Dari Abu Mas'ud iaitu 'Uqbah bin 'Amr al-Badri r.a., katanya:
"Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., lalu berkata: "Sesungguhnya saya
nescayalah membelakangkan diri dari solat subuh - yakni tidak ikut berjema'ah -
kerana si Fulan itu, kerana ia memanjangkan bacaan surahnya untuk
kita."
Maka saya - Abu Mas'ud - sama sekali tidak pernah melihat Nabi s.a.w.
marah dalam nasihatnya lebih daripada marahnya pada hari itu. Beliau s.a.w.
bersabda: "Hai sekalian manusia, sesungguhnya di antara engkau semua ada
orang-orang yang menyebabkan larinya orang lain. Maka siapa saja di antara
engkau semua yang menjadi imam orang banyak - dalam bersembahyang - hendaklah ia
menyingkatkan bacaannya, sebab sesungguhnya di belakangnya itu ada orang yang
sudah tua, anak kecil dan ada pula orang yang segera hendak mengurus
keperluannya." (Muttafaq 'alaih)
648. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w.
datang dari berpergian dan saya telah memberikan tutup dalam rumahku dengan
tabir yang tipis sekali, di situ ada beberapa gambar boneka. Setelah Rasulullah
s.a.w. melihatnya lalu dirosaknya dan berubahlah warna wajahnya serta
bersabda:
"Hai Aisyah, sesangat-sangatnya manusia dalam hal seksanya di sisi
Allah pada hari kiamat ialah orang-orang yang menyamai dengan apa-apa yang
diciptakan oleh Allah." (Muttafaq 'alaih)
649. Dari Aisyah radhiallahu 'anha pula bahawasanya orang-orang
Quraisy disedihkan oleh peristiwa seorang wanita dari golongan Makhzum yang
mencuri - dan wajib dipotong tangannya. Mereka berkata: "Siapakah yang berani
memperbincangkan soal wanita ini dengan Rasulullah s.a.w.?" Kemudian mereka
berkata pula: "Tidak ada rasanya seseorang pun yang berani mengajukan perkara
ini - maksudnya untuk meminta supaya dimaafkan dan hukuman potong tangan
diurungkan - melainkan Usamah bin Zaid, iaitu kecintaan Rasulullah s.a.w. Usamah
lalu membicarakan hal tersebut pada beliau s.a.w., kemudian Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Adakah engkau hendak meminta tolong dihapuskannya sesuatu had -
hukuman - dari had-had yang ditentukan oleh Allah Ta'ala?" Seterusnya beliau
berdiri dan berkhutbah: "Hanyasanya yang menyebabkan rosak akhlaknya orang-orang
yang sebelummu semua itu ialah kerana mereka itu apabila
yang mencuri termasuk golongan yang mulia di kalangan mereka, orang tersebut
mereka biarkan saja-yakni tidak diterapi hukuman apa-apa, sedang apabila yang
mencuri itu orang yang lemah - miskin dan tidak berkuasa, maka mereka
laksanakanlah hadnya. Demi Allah yang mengurniakan keberkahan, andaikata
Fathimah puteri Muhammad itu mencuri nescaya-lah saya potong pula
tangannya,"-yakni sekalipun anak sendiri juga harus diterapi hukuman sebagaimana
orang lain. (Muttafaq 'alaih)
650. Dari Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melihat ada hingus di
arah kiblat, maka hal itu dirasakan amat berat sekali dalam hatinya, sehingga
nampaklah di wajah
beliau itu. Selanjutnya beliau berdiri dan menggaruknya - yakni
menggosok-gosoknya - dengan tangan nya - dan hingus itu dapat hilang sebab telah
kering. Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang di
antara engkau semua itu berdiri dalam solatnya, maka sebenarnya ia sedang
bermunajat kepada Tuhannya di kala itu dan bahawasanya Tuhannya itu di antara
dirinya dan antara kiblat. Maka dari itu janganlah seseorang di antara engkau
semua itu berludah di arah kiblat, tetapi berludahlah di arah kiri atau di bawah
kakinya." Seterusnya beliau s.a.w. mengambil hujung selendangnya, lalu berludah
di situ, kemudian membolak-balikkan sebahagian selendang itu dengan bahagian
lainnya - yakni digosok-gosokkan ludah tadi dengan kain selendang nya berulang
kali. Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Atau mengerjakan sedemikian ini." (Muttafaq
'alaih)
Adapun perintah berludah di arah kiri atau di bawah kaki itu apabila
orang tersebut bersembahyangnya tidak di dalam masjid. Tetapi jikalau di dalam
masjid, maka janganlah berludah melainkan wajib diletakkan dalam pakaiannya
sendiri.
No comments:
Post a Comment