Allah Ta'ala berfirman:
"Tiada sesuatupun binatang yang bergerak di bumi itu, kecuali atas
tanggungan Allah jualah keadaan rezekinya." (Hud: 6)
Allah Ta'ala juga
berfirman:
"Berikanlah sedekah itu
kepada kaum fakir yang terkepung dalam menjalankan jihad fi-sabilillah, mereka
tidak dapat berjalan keliling negeri. Orang-orang yang tidak mengetahui akan
mengira bahawa mereka itu adalah orang-orang yang kaya kerana bersikap ta'affuf
- enggan meminta-minta. Engkau dapat mengenal mereka itu dengan tanda-tandanya
yakni bahawa mereka itu tidak mahu meminta kepada para manusia secara berulang
kali - yakni menyangat-nyangatkan permintaannya." (al-Baqarah: 273)
Juga Allah Ta'ala
berfirman:
"Dan mereka -
hamba-hamba Allah yang berbakti - itu apabila menafkahkan hartanya, maka mereka
itu tidak melampaui batas - terlalu boros - dan tidak pula bersikap kikir,
tetapi pertengahan antara keduanya itu." (al-Furqan: 67)
Allah Ta'ala berfirman
pula:
"Tidaklah Kami
menciptakan jin dan manusia itu melainkan supaya menyembah padaKu. Aku tidak
hendak meminta rezeki kepada mereka dan Aku tidak hendak meminta supaya mereka
memberi makanan kepadaKu." (adz-Dzariyat: 56-57)
Adapun
Hadis-hadisnya, maka sebahagian besar telah dihuraikan dalam kedua bab yang ada
di depan. Di antaranya yang belum terdapat di depan ialah:
520. Dari
Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Bukannya yang dinamakan kaya itu
kerana banyaknya harta, tetapi yang dinamakan kaya - yang sebenarnya - ialah
kayanya jiwa." (Muttafaq 'alaih)
521. Dari
Abdullah bin 'Amr radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Sungguh
berbahagialah orang yang masuk Agama Islam dan diberi rezeki cukup serta
dikurniai sifat qana'ah oleh Allah dengan apa-apa yang direzekikan kepadanya
itu." (Riwayat Imam Muslim)
522. Dari
Hakim bin Hizam r.a.,katanya: "Saya meminta kepada Rasulullah s.a.w., lalu
beliau memberikan sesuatu padaku, lalu saya meminta lagi pada beliau, kemudian
beliau pun memberikan pula sesuatu padaku, selanjutnya beliau
bersabda:
"Hai
Hakim, sesungguhnya harta ini adalah sebagai benda yang kehijau-hijauan - yakni
enak dirasakan dan nyaman dipandang juga manis. Maka barangsiapa yang
mengambilnya itu dengan jiwa kedermawanan - dari orang yang memberikannya serta
memintanya itu dengan tidak memaksa, tentulah harta itu memperolehi berkah
Tuhan, tetapi barangsiapa yang mengambilnya itu dengan jiwa kelobaan - atau
ketamakan, maka tidak memperolehi berkah Tuhan dalam harta tadi. Ia adalah
sebagai seseorang yang makan, namun tidak kenyang-kenyang. Tangan yang bahagian
atas - yang memberi - adalah lebih mulia daripada yang bahagian bawah - yang
diberi."
Hakim
lalu berkata: "Ya Rasulullah, demi Zat yang mengutus Tuan dengan membawa
kebenaran, saya tidak akan suka lagi menerima sesuatu dari seseorang pun
sepeninggalan Tuan nanti, sehingga saya akan berpisah dengan dunia - yakni
sampai mati."
Abu Bakar
r.a. pernah mengundang Hakim kerana hendak memberikan sesuatu padanya, tetapi
Hakim menolak untuk menerima sesuatu pun dari pemberian itu. Seterusnya Umar
r.a. pernah pula memanggilnya untuk memberikan sesuatu pada Hakim itu, tetapi ia
juga enggan menerima pemberian tadi. Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma itu
memanggil di kala keduanya menjabat sebagai khalifah secara bergantian. Umar
lalu berkata: "Hai sekalian kaum Muslimin, saya mempersaksikan kepadamu semua
atas diri Hakim ini, bahawasanya saya menawarkan padanya akan haknya yang saya
wajib membahagikan untuknya dari harta rampasan, tetapi ia enggan mengambil
haknya itu.
Hakim
memang tidak pernah menerima sesuatu pemberian dari seseorang pun setelah
wafatnya Nabi s.a.w., sehingga ia meninggal dunia. (Muttafaq
'alaih)
523. Dari
Abu Burdah dari Abu Musa al-Asy'ari r.a., katanya: "Kita semua keluar bersama
Rasulullah s.a.w. dalam melakukan sesuatu peperangan. Kita semua ada enam orang
banyaknya - yakni yang menyertai Nabi s.a.w. itu, di antara kita ada seekor unta
yang kita gunakan untuk ganti-berganti menaikinya. Maka berlubang-lubanglah
kaki-kaki kita, juga kakiku pun berlubang-lubang pula dan jatuhlah kuku-kukuku.
Oleh sebab itu kita lalu membalutkan beberapa helai kain pada kaki-kaki kita itu
dan dengan demikian peperangan itu dinamakan perang Dzatu riqa' - mempunyai
beberapa balutan kain, kerana kita membalutkan beberapa helai kain pada
kaki-kaki kita tadi."
Abu
Burdah berkata: "Abu Musa menceriterakan Hadis ini, kemudian ia merasa tidak
senang dalam menghuraikannya itu dan ia mengatakan: "Apa yang dapat saya lakukan
dengan menyebut-nyebutkannya itu?" Abu Burdah melanjutkan katanya: "Seolah-olah
Abu Musa itu tidak senang kalau menyebutkan sesuatu amalannya, lalu
disiar-siarkannya." (Muttafaq 'alaih)
Maksudnya: Oleh sebab adanya
bala' sampai kaki-kaki menjadi rosak dan kuku-kuku lepas itu adalah semata-mata
urusan antara manusia dengan Tuhan, maka menurut anggapan Abu Musa r.a. tidak
perlu diterang-terangkan, supaya tidak dianggap sebagai mempamirkan jasa atau
amalan."
524. Dari
'Amr bin Taghlib - dengan fathahnya ta' mutsannat di atas dan sukunnya ghain
mu'jamah dan kasrahnya fam - r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. didatangi -
memperolehi - harta atau rampasan, lalu beliau s.a.w. membahagikan itu. Ada
beberapa orang yang beliau beri dan ada pula beberapa orang yang beliau
tinggalkan - yakni tidak diberi bahagian. Kemudian sampailah suatu berita kepada
beliau bahawa orang-orang yang tidak diberi itu sama mencela cara beliau
membahagikan tadi. Beliau s.a.w. lalu bertahmid kepada Allah lalu memujiNya,
kemudian bersabda:
"Amma
ba'du." Sesungguhnya saya niscayalah memberikan bahagian kepada golongan -
beberapa orang, kerana saya mengetahui keluh kesah dalam hati mereka itu serta
sesambatan mereka yang amat sangat, sedang segolongan lain saya serahkan kepada
Allah, kerana Allah telah memberikan kekayaan bathin dan kebaikan dalam hati
mereka ini, di antara mereka ini adalah 'Amr bin Taghlib."
'Amr bin
Taghlib berkata: "Demi Allah, saya - amat gembira mendengar pujian beliau s.a.w.
itu pada saya, sehingga kerana gembiranya, maka saya - tidak suka andai kata
kalimat Rasulullah s.a.w. yang ditujukan kepada saya itu ditukar dengan
ternak-ternak merah - sebagai kiasan sebaik-baik harta bagi bangsa Arab."
(Riwayat Bukhari)
525. Dari
Hakim bin Hizam r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:
"Tangan
yang bahagian atas - yang memberi - adalah lebih mulia daripada tangan yang
bahagian bawah -yang diberi. Dan dahulukanlah dalam pemberian itu kepada
orang-orang yang menjadi tanggunganmu - yakni yang wajib dinafkahi. Sebaik-baik
sedekah ialah yang diberikan di luar keperluan - yakni keadaan diri sendiri dan
keluarga sudah dicukupi. Barangsiapa yang enggan meminta, maka Allah akan
memberikan kecukupan padanya dan barangsiapa tidak memerlukan pemberian manusia,
maka Allah akan memberikan kekayaan padanya." (Muttafaq
'alaih)
Ini
adalah lafaznya Imam Bukhari, sedang lafaznya Imam Muslim adalah lebih ringkas
lagi.
526. Dari Abu Abdir Rahman, iaitu Mu'awiyah bin Abu Sufyan iaitu
Shakhr bin Harb radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah engkau semua mempersangatkan dalam meminta sesuatu sebab demi Allah,
tidaklah seseorang dari engkau semua itu meminta sesuatu, kemudian kerana
permintaannya itu lalu dapat mengeluarkan sesuatu pemberian daripadaku untuknya,
sedangkan saya tidak senang dengan cara memintanya, selanjutnya lalu diberkahi
untuk orang tadi dalam apa-apa yang saya berikan." (Riwayat Muslim)
Maksudnya bahawa rezeki yang berasal dari meminta, apabila rezeki itu
menjadi bertambah banyak dan kekal kerana dibuat berusaha umpamanya, maka yang
diminta dengan baik yakni tidak seolah-olah memaksa adalah lebih baik dan lebih
banyak berkahnya dari yang diminta dengan nada yang seolah-olah
memaksa.
527. Dari Abu Abdir Rahman, iaitu 'Auf bin Malik
al-Asyja'i r.a., katanya: "Kita semua ada di sisi Rasulullah s.a.w. dan kita ada
sembilan, lapan atau tujuh orang, kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Tidakkah
engkau semua berbai'at kepada Rasulullah?" Padahal kita semua baru beberapa hari
saja melakukan pembai'atan pula pada beliau itu, oleh sebab itu kita berkata:
"Kita semua telah membai'at Tuan, ya Rasulullah." Kemudian beliau s.a.w.
bersabda lagi: "Tidakkah engkau semua berbai'at kepada Rasulullah?" Kita lalu
membeberkan tangan-tangan kita dan kita berkata: "Kita semua dulu sudah
berbai'at kepada Tuan, ya Rasulullah dan sekarang kita berbai'at lagi dalam hal
apakah?" Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Hendaklah engkau semua menyembah kepada
Allah yang Maha Esa dan jangan menyekutukan sesuatu denganNya, tetapi tetaplah
mengerjakan shalat lima waktu dan sampai engkau semua mendengarkan serta
melakukan ketaatan," lalu beliau memperlahankan suaranya dan bersabda dengan
berbisik: "Dan jangan meminta sesuatu apa pun dari orang-orang."
Maka sungguh saya pernah melihat ada orang yang termasuk golongan
orang-orang di atas itu, ketika cemetinya jatuh, ia tidak meminta seseorang
supaya diambilkan cemetinya tadi." (Riwayat
Muslim)
528. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w.
bersabda:
"Tidak henti-hentinya permintaan itu menghinggapi seseorang di antara
engkau semua - yakni orang yang senantiasa mempunyai tabiat suka meminta-minta
itu tidak akan berhenti, sehingga ia menemui Allah Ta'ala - iaitu pada hari
kiamat nanti - sedang di wajahnya itu tidak terdapat sepotong daging pun - jadi
dalam keadaan sangat hina-dina." (Muttafaq 'alaih)
529. Dari Ibnu Umar r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda,
sedang di kala itu beliau berada di atas mimbar dan menyebut-nyebutkan perihal
sedekah dan menahan diri dari meminta:
"Tangan yang bahagian atas adalah lebih baik daripada tangan yang
bahagian bawah. Tangan yang bahagian atas itu adalah yang menafkahkan - yakni
yang memberikan sedekah, sedang tangan yang bahagian bawah adalah yang meminta."
(Muttafaq 'alaih)
530. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Barangsiapa yang meminta-minta kepada orang-orang dengan maksud
supaya menjadi banyak apa yang dimilikinya - jadi sudah cukup tetapi terus saja
meminta-minta, maka sebenarnyalah orang itu meminta bara api. Maka dari itu
baiklah ia memilih hendak mempersedikitkan atau memperbanyakkan - siksanya."
(Riwayat Muslim)
Keterangan:
Hadis di atas dapat diertikan bahawa orang sebagaimana yang tersebut
itu yakni yang meminta-minta lebih dari keperluannya atau untuk mencari yang
sebanyak-banyaknya akan disiksa dalam neraka dan oleh Rasulullah s.a.w.
dikiaskan sebagai orang-orang yang meminta bara api. Tetapi dapat pula diertikan
dengan makna yang sebenarnya menurut lahiriyah sabda beliau s.a.w., iaitu bahawa
bara api akan dimasukkan dalam seterika dan kepada orang sebagaimana di atas itu
akan diseterikakan pada punggung dan lambungnya, seperti juga keadaan orang yang
sudah berkewajiban zakat, namun enggan mengeluarkan atau menunaikan kewajiban
zakatnya.
Demikianlah yang dihuraikan oleh al-Qadhi 'lyadh dalam menafsiri
Hadis di atas.
531. Dari Samurah bin Jundub r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Sesungguhnya permintaan adalah suatu cakaran yang seseorang itu
mencakarkan sendiri ke arah mukanya, kecuali jikalau seseorang itu meminta
kepada sultan - penguasa negara* - atau ia meminta untuk sesuatu keperluan yang
tidak boleh tidak ia harus melakukannya."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah
Hadis hasan shahih.
532. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang dihinggapi oleh kemelaratan, lalu diturunkannya kepada manusia
- yakni meminta tolong kepada sesama manusia agar dihilangkan kemelaratannya
itu, maka tentu tidak akan tertutuplah kemelaratannya tadi. Tetapi barangsiapa
menurunkannya kepada Allah - yakni mohon kepadaNya agar dihilangkan
kemelaratannya, maka bersegeralah Allah akan memberinya rezeki yang kontan -
cepat diberikannya - atau rezeki yang dilambatkan memberikannya."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud serta Tirmidzi dan Tirmidzi
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Meminta kepada Sultan
itu pun tidak boleh sembarang minta, tetapi yang ada sangkut pautnya dengan
soal-soal keagamaan, misalnya meminta zakat yang diwajibkan oleh Allah kepadanya
atau seperlima bahagian dari hasil rampasan peperangan atau memang kerana untuk
kepentingan ummat dan masyarakat.
533. Dari Tsauban r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Siapakah yang memberikan jaminan kepada saya bahawa ia tidak akan
meminta apapun dari para manusia dan saya memberikan jaminan padanya untuk
memperolehi syurga?" Saya berkata: "Saya."
Maka Tsauban sejak saat itu tidak pernah meminta sesuatu apa pun
kepada siapa saja.
Diriwayatkan oleh Imam Dawud dengan isnad shahih.
534. Dari Abu Bisyr iaitu Qabishah bin al-Mukhariq r.a., katanya:
"Saya mempunyai beban sesuatu tanggungan harta - hamalah, lalu saya datang
kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta sesuatu padanya guna melunasi tanggungan
itu. Beliau s.a.w. bersabda: "Berdiamlah di sini dulu sampai ada harta sedekah -
zakat - yang datang pada kita, maka dengan harta itu kita akan menyuruh guna
diberikan padamu," selanjutnya beliau s.a.w. bersabda:
"Hai Qabishah, sesungguhnya permintaan itu tidak boleh dilakukan
kecuali untuk salah satu dari tiga macam orang ini, iaitu: Seseorang yang
mempunyai beban sesuatu tanggungan harta -hamalah, maka bolehlah ia meminta
sehingga memperolehi sejumlah harta yang diperlukan tadi, kemudian menahan diri
- jangan meminta-minta lagi. Juga seseorang yang mendapatkan sesuatu bencana,
sehingga menyebabkan kemusnahan hartanya - lalu menjadi miskin, maka bolehlah ia
meminta, sehingga dapatlah ia memperolehi sesuatu untuk menutupi keperluan
hidupnya," atau sabda beliau: "Sesuatu untuk mencukupi keperluan hidupnya.
Demikian pula seseorang yang dihinggapi oleh kemelaratan, sehingga ada tiga
orang dari golongan orang-orang yang berakal di kalangan kaumnya mengatakan:
"Benar-benar si Fulan itu telah dihinggapi oleh kemelaratan," maka orang semacam
itu bolehlah meminta sehingga dapatlah ia memperolehi sesuatu untuk menutupi
keperluan hidupnya," atau sabda beliau: "Sesuatu untuk mencukupi keperluan
hidupnya." Adapun selain tiga macam orang tersebut di atas, maka permintaannya
itu, hai Qabishah adalah merupakan suatu perbuatan dosa yang dimakan oleh orang
yang memintanya tadi dengan memperolehi dosa." (Riwayat Muslim)
Alhamalah dengan fathahnya ha'
ialah apabila terjadi sesuatu pertempuran ataupun pertengkaran Iain-Iain antara
dua golongan, kemudian ada orang yang bermaksud hendak mendamaikan antara mereka
itu dengan cara memberikan harta yang menjadi tanggungannya dan mewajibkan
pengeluarannya itu atas dirinya sendiri. Tanggungan harta semacam inilah yang
dinamakan hamalah. Aljaihah ialah sesuatu bencana yang mengenai harta
seseorang -sehingga ia menjadi miskin. Alqiwam dengan kasrahnya qaf atau
dengan fathahnya ialah sesuatu yang dengannya itulah urusan seseorang dapat
berdiri dengan baik, ini adalah berupa harta atau pun lain-lainnya. Assidad
dengan kasrahnya sin ialah sesuatu yang dapat menutupi keperluan orang yang
mempunyai keperluan dan dapat pula mencukupinya. Alfaqah ialah
kekafiran. Alhija ialah akal.
535. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Bukannya orang miskin itu orang yang berkeliling mendatangi orang
banyak - keluar masuk dari rumah ke rumah - lalu ditolak ketika meminta sebiji
atau dua biji kurma atau ketika meminta sesuap atau dua suap makanan, tetapi
orang miskin yang sebenarnya ialah orang yang tidak mempunyai kekayaan untuk
mencukupi keperluannya, tidak pula diketahui kemiskinannya, sebab andaikata
diketahui tentu ia akan diberi sedekah bahkan tidak pula ia suka berdiri lalu
meminta-minta sesuatu kepada orang-orang." (Muttafaq 'alaih)
No comments:
Post a Comment