Allah Ta'ala berfirman:
"Dan orang-orang yang beriman itu sama meniarap dengan dagunya sambil
menangis dan al-Quran itu menambah ketundukan mereka." (al-lsra': 109)
Allah Ta'ala berfirman
lagi:
"Adakah dari pembicaraan
- al-Quran - ini engkau semua menjadi hairan, lalu engkau semua ketawa dan tidak
menangis?" (an-Najm:
59-60)
445. Dari
Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Nabi s.a.w. bersabda kepadaku: "Bacakanlah al-Quran
untukku." Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah saya akan membacakan al-Quran
itu, sedangkan ia diturunkan atas Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda: "Saya senang
kalau mendengarnya dari orang lain."
Saya lalu
membacakan untuknya surah an-Nisa', sehingga sampailah saya pada ayat- yang
ertinya: "Bagaimanakah ketika Kami datangkan kepada setiap ummat seorang saksi
dan engkau Kami jadikan saksi atas ummat ini?" - Surat an-Nisa'
41.
Setelah
itu Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sudah cukuplah bacaanmu sekarang." Saya
menoleh kepada beliau s.a.w., tiba-tiba kedua mata beliau itu meleleh
airmatanya." (Muttafaq 'alaih)
446. Dari
Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. berkhutbah, tidak pernah saya mendengar
suatu khutbah pun yang semacam itu -kerana amat menakutkan. Beliau s.a.w.
bersabda:
"Andaikata engkau semua dapat
mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya engkau semua akan ketawa sedikit dan
menangis banyak-banyak." Anas berkata: "Maka para sahabat Rasulullah s.a.w. sama
menutupi mukanya sendiri-sendiri dan mereka itu menangis terisak-isak."
(Muttafaq 'alaih)
Keterangannya telah lampau
dalam bab: Takut.
447. Dari
Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak
akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga
susu itu dapat kembali ke teteknya - menunjukkan suatu kemustahilan. Tidak akan
berkumpullah debu fi-sabilillah itu* dengan asap neraka
Jahanam."
Diriwayatkan oleh Imam
Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan
shahih.
448. Dari
Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada
tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang
tiada naungan melainkan naunganNya sendiri - yakni hari kiamat, iaitu imam -
kepala atau pemimpin - yang adil. Pemuda yang membesar -sejak kecilnya - dalam
beribadat kepada Allah, orang yang hatinya tergantung - sangat memerhatikan
-kepada masjid-masjid dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah,
keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas
keadaan sedemikian itu pula, orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai
kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini
takut kepada Allah," - demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak
lelaki lalu bersikap seperti di atas, juga orang yang bersedekah dengan suatu
sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya
tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya dan orang yang mengingat
pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."
(Muttafaq 'alaih)
Maksudnya ialah berjihad
memerangi musuh agama Allah sewaktu-waktu untuk mengharapkan
keredhaanNya.
449. Dari
Abdullah bin asy-Syikhkhir r.a., katanya: "Saya mendatangi Rasulullah s.a.w. dan
beliau sedang bersembahyang dan dari dadanya itu terdengar suara bagaikan
mendidihnya kuali kerana beliau sedang menangis."
Hadis
hasan shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dalam
asy-Syamail dengan isnad yang shahih.
450. Dari
Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ubay bin Ka'ab r.a.,
demikian:
"Sesungguhnya Allah
Azzawajalla menyuruh padaku supaya saya bacakan untukmu ayat ini - ertinya:
"Tidaklah akan dapat meninggalkan orang-orang kafir dari ahlul-kitab dan musyrik
itu - akan kepercayaannya yang sesat - sampai datang kepada mereka keterangan
yang jelas. "Albayyinah" 1-8. Ia berkata: "Apakah Allah menjelaskan namaku pada
Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda: "Ya." Kemudian Ubay r.a. menangis." (Muttafaq
'alaih)
Dalam
sebuah riwayat lain disebutkan: "Maka Ubay mulai menangis." - Ubay adalah
seorang dari golongan sahabat Anshar.
Keterangan:
Sebabnya
Ubay r.a. menangis ialah kerana terharu hatinya, gembira bercampur rasa takut
kepada Allah Ta'ala, kerana merasa masih kurang kebaktian serta ketaatan yang
dilakukan olehnya. Ada pun rasa terharunya itu di antaranya disebabkan kerana
dalam surat "Albayyinah" bahagian terakhir dijelaskan bahawa orang-orang semacam
sahabat Ubay r.a. itu amat diredhai oleh Allah Ta'ala dan orang itu pun
benar-benar sudah redha kepadaNya. Manakala seseorang itu telah diredhai oleh
Allah, maka tiada lain tempatnya di akhirat nanti, kecuali
syurga.
451. Dari
Anas r.a. pula, katanya: "Abu Bakar berkata kepada Umar radhiallahu 'anhuma
sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w.: "Mari kita bersama-sama berangkat ke tempat
Ummu Aiman untuk menziarahinya, sebagaimana halnya Rasulullah s.a.w. juga
menziarahinya." Ketika keduanya sampai di tempat Ummu Aiman, lalu wanita ini
menangis. Keduanya berkata: "Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Tidakkah
engkau ketahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk
Rasulullah s.a.w." Ummu Aiman lalu menjawab: "Sesungguhnya saya tidaklah
menangis kerana saya tidak mengetahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu
lebih baik untuk Rasulullah s.a.w., tetapi saya menangis ini ialah kerana
sesungguhnya wahyu itu telah terputus - sebab Nabi s.a.w. telah wafat." Maka
ucapan Ummu Aiman menggerakkan hati kedua sahabat itu untuk menangis. Kemudian
keduanya itu pun menangis bersama Ummu Aiman.
Hadis di
atas sudah disebutkan dalam bab: Menziarahi orang-orang ahli kebaikan - lihat
Hadis no. 359.
452. Dari
Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Ketika sudah sangat geringnya
Rasulullah s.a.w., lalu ditanyakan padanya siapa yang akan menjadi imam shalat.
Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Perintahkanlah pada Abu Bakar, supaya ia
bersembahyang menjadi imam orang-orang banyak!" Aisyah radhiallahu 'anha
berkata: "Sesungguhnya Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang lemah, jikalau
membaca al-Quran, maka bacaannya terkalahkan oleh tangisnya - sehingga bacaannya
tidak jelas." Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi: "Perintahkanlah pada Abu Bakar
supaya bersembahyang sebagai imam!"
Dalam
lain riwayat disebutkan: Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Saya berkata:
"Sesungguhnya Abu Bakar itu apabila mengganti kedudukan Tuan - sebagai imam, ia
tidak dapat memperdengarkan suaranya kepada orang-orang banyak sebab tangisnya."
(Muttafaq 'alaih)
453. Dari
Ibrahim bin Abdur Rahman bin 'Auf, bahawasanya Abdur Rahman bin 'Auf r.a. diberi
hidangan makanan, sedangkan waktu itu ia berpuasa, lalu ia berkata: "Mus'ab bin
Umair itu terbunuh - fi-sabilillah. Ia adalah seorang yang lebih baik
daripada-ku, tetapi tidak ada yang digunakan untuk mengafaninya - membungkus
janazahnya - kecuali selembar burdah. Jikalau kepalanya ditutup, maka nampaklah
kedua kakinya dan jikalau kedua kakinya ditutup maka nampaklah kepalanya.
Selanjutnya untuk kita sekarang ini dunia telah dibeberkan seluas-luasnya -
banyak rezeki. Atau ia berkata: "Kita telah dikurniai rezeki dunia sebagaimana
yang kita terima ini - amat banyak sekali. Kita benar-benar takut kalau-kalau
kebaikan-kebaikan kita ini didahulukan untuk kita sekarang - sejak kita di dunia
ini, sedang di akhirat tidak dapat bahagian apa-apa." Selanjutnya ia lalu
menangis dan makanan itu ditinggalkan. (Riwayat Bukhari)
454. Dari
Abu Umamah, iaitu Shuday bin 'Ajlan al-Bahili r.a. dari Nabi s.a.w.,
sabdanya:
"Tiada
sesuatupun yang lebih dicintai oleh Allah Ta'ala daripada dua titisan dan dua
bekas. Dua titisan itu ialah titisan airmata kerana takut kepada Allah dan
titisan darah yang dialirkan fi sabilillah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka
fi-sabilillah dan bekas dalam mengerjakan kefardhuan dari beberapa kefardhuan
Allah Ta'ala - semacam bekas sujud dan lain-lain."
Diriwayatkan Imam Tirmidzi
dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Dalam bab
ini masih banyak lagi Hadisnya, di antaranya ialah Hadisnya al-'Irbadh bin
Sariyah r.a., katanya: "Kita semua diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w., iaitu
suatu nasihat yang semua hati dapat menjadi takut kerananya dan mata pun dapat
melelehkan airmata." Hadis ini telah lalu dalam bab: Melarang
kebid'ahan-kebid'ahan - lihat Hadis no. 157 dan 171.
No comments:
Post a Comment