Kitab Perihal Meninjau Orang
Sakit, Menghantarkan janazah, Menyembahyanginya, Menghadhiri Pemakamannya,
Berdiam Sementara Di Sisi Kuburnya Sesudah Ditanamkan Meninjau Orang Sakit
891. Dari al-Bara' bin 'Azib radhiallahu
'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. memerintahkan kepada kita supaya meninjau
orang sakit, mengikuti janazah - yang akan dibawa ke kubur, mentasymitkan orang
bersin - yakni mendoakan supaya ia memperoleh kerahmatan Allah dengan
mengucapkan: Yarhamukallah, kalau orang yang bersin itu mengucapkan:
Alhamdulillah, melaksanakan sumpah, menolong orang yang dianiaya, mengabulkan
undangan orang yang mengundang dan menyebarkan salam." (Muttafaq 'alaih)
892. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya itu ada lima
perkara iaitu menjawab salam, meninjau orang sakit, mengikuti janazah-janazah -
yang akan dimakamkan, mengabulkan undangan dan mentasymitkan orang yang bersin."
(Muttafaq 'alaih)
893. Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla itu akan
berfirman nanti pada hari kiamat:
"Hai anak Adam - yakni manusia, Aku sakit,
tetapi engkau tidak suka meninjauKu." Manusia berkata: "Ya Tuhanku, bagaimanakah
saya dapat meninjauMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan yang menguasai seluruh alam
ini?" Allah berfirman: "Adakah engkau tidak mengetahui bahawa seorang hambaKu,
si Fulan itu sakit, tetapi engkau tidak suka meninjaunya. Tidakkah engkau
mengetahui, bahawasanya apabila engkau meninjaunya, tentulah engkau akan
mendapatkan Aku di sisinya? Hai anak Adam, Aku meminta makanan padamu, tetapi
engkau tidak suka memberikan makanan itu padaKu. Manusia berkata: "Ya Tuhanku,
bagaimanakah saya dapat memberikan makanan padaMu. Sedang Engkau adalah Tuhan
yang menguasai seluruh alam ini?" Allah berfirman: "Tidakkah engkau mengetahui
bahawa seorang hambaKu, si Fulan itu meminta makanan padamu, tetapi engkau tidak
suka memberikan makanan itu padanya. Adakah engkau tidak mengetahui, bahawasanya
apabita engkau memberikan makanan padanya, tentulah engkau akan mendapatkan yang
sedemikian itu di sisiKu. Hai anak Adam, Aku meminta minuman padamu, tetapi
engkau tidak suka memberikan minuman itu padaKu." Manusia berkata:
"Ya Tuhanku, bagaimanakah saya dapat
memberikan minuman padaMu, sedangkan Engkau adalah Tuhan yang menguasai seluruh
alam ini?" Allah berfirman: "Ada seorang hambaKu, si Fulan itu meminta minuman
padamu, tetapi engkau tidak suka memberikan minuman itu padanya. Andaikata saja
engkau suka memberikan minuman padanya, tentulah engkau akan mendapatkan yang
sedemikian itu di sisiKu." (Riwayat Muslim)
894. Dari Abu Musa r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tinjaulah orang sakit, berikanlah makanan pada
orang yang lapar dan merdekakanlah tawanan." (Riwayat Bukhari)
At'aanii ialah orang yang tertawan.
895. Dari Tsauban r.a. dari Nabi s.a.w.,
sabdanya: "Sesungguhnya orang Islam itu apabila meninjau saudaranya sesama
Muslimnya - yang sakit, maka tidak henti-hentinya ia berada di dalam tempat
penuaian syurga sehingga ia kembali." Beliau s.a.w. ditanya: "Ya Rasulullah,
apakah khurfah atau penuaian syurga itu," Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu tempat
di syurga yang - buah-huahannya - tinggal dipetik saja." (Riwayat Muslim)
896. Dari Ali r.a., katanya: "Saya mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada seorang Muslim pun yang meninjau saudaranya
Muslim -yang sakit - di waktu pagi, melainkan ada tujuh puluh ribu malaikat yang
mendoakan padanya supaya memperolehi kerahmatan Tuhan sampai orang itu berada di
waktu petang dan jikalau ia meninjaunya itu di waktu petang, maka ada tujuh
puluh ribu malaikat yang mendoakan padanya supaya ia memperolehi kerahmatan
Tuhan sampai orang itu berada di waktu pagi. Juga orang tersebut akan
memperolehi tempat buah-buahan yang sudah waktunya dituai di dalam syurga."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Alkharif ertinya ialah buah-buahan yang
sudah waktunya dituai atau dipetik.
897. Dari Anas r,a., katanya: "Ada seorang
anak Yahudi yang menjadi pelayan Nabi s.a.w, lalu ia sakit. la didatangi oleh
Nabi s.a.w. untuk meninjaunya. Beliau s.a.w. lalu duduk di dekat kepalanya, lalu
bersabda padanya: "Masuklah agama Islam!" Anak itu lalu melihat kepada ayahnya
yang ketika itu sudah ada di sisinya - seolah-olah anak tadi meminta
pertimbangan pada ayahnya. Ayahnya berkata: "Taatilah kehendak Abul Qasim" -
iaitu Nabi s.a.w. Anak itu lalu menyatakan masuk Islam, Setelah itu Nabi s.a.w.
keluar dan beliau bersabda: "Alhamdulillah yang telah menyelamatkan anak itu
dari siksa api neraka." (Riwayat Imam Bukhari)
No comments:
Post a Comment