Allah Ta'ala berfirman:
"Maka jikalau orang-orang itu bertaubat dan mendirikan
shalat serta menunaikan zakat, maka bebaskanlah jalannya - yakni merdekakanlah
menurut kemahuan hatinya." (at-Taubah:
5)
389. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Saya diperintah untuk memerangi semua manusia, sehingga mereka suka
menyaksikan bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah
pesuruh Allah dan mendirikan shalat serta menunaikan zakat. Maka jikalau mereka
telah melakukan yang sedemikian itu, terpeliharalah daripadaku darah serta harta
benda mereka, melainkan dengan haknya Islam, sedang hisab - perhitungan amal -
mereka adalah terserah kepada Allah Ta'ala. (Muttafaq 'alaih)
390. Dari Abu Abdillah iaitu Thariq bin as-Syam r.a., katanya: "Saya
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang mengucapkan La ilaha illallah dan kafir mengingkari
- dengan sesuatu yang disembah selain daripada Allah, maka haramlah harta benda
serta darahnya, sedang hisabnya adalah terserah kepada Allah." (Riwayat
Muslim)
391. Dari Abu Ma'bad iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a., katanya:
"Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Bagaimanakah pendapat Tuan, jikalau
saya bertemu seseorang dari golongan kaum kafir, kemudian kita berperang, lalu
ia memukul salah satu dari kedua tanganku dengan pedang dan terus memutuskannya.
Selanjutnya ia bersembunyi daripadaku di balik sebuah pohon, lalu ia
mengucapkan: "Saya masuk Agama Islam kerana Allah," apakah orang yang sedemikian
itu boleh saya bunuh, ya Rasulullah sesudah ia mengucapkan kata-kata seperti
tadi itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Jangan engkau membunuhnya." Saya berkata
lagi: "Ia sudah memutuskan salah satu tangan saya, kemudian mengucapkan
sebagaimana di atas itu setelah memutuskannya." Rasulullah s.a.w.
bersabda lagi: "Jangan engkau membunuhnya, kerana jikalau
engkau membunuhnya, maka ia adalah menempati tempatmu sebelum engkau
membunuhnya dan sesungguhnya engkau adalah di tempatnya sebelum ia
mengucapkan kata-kata yang diucapkannya itu." (Muttafaq 'alaih)
Maknanya innahu
bimanzilatika: sesungguhnya ia di tempatmu ialah bahawa orang
itu harus dipelihara darahnya sebab telah dihukumi sebagai orang
Islam. Adapun maknanya innaka biman zilatihi: sesungguhnya engkau
di tempatnya ialah bahawa halal darahnya dengan qishash untuk para
ahli warisnya, bukan kerana ia dalam kedudukannya sebagai orang
kafir. Wallahu a'lam.'
392. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah
s.a.w. mengirim kita ke daerah Huraqah dari suku Juhainah, kemudian kita
berpagi-pagi menduduki tempat air mereka. Saya dan seorang lagi dari kaum Anshar
bertemu dengan seseorang lelaki dari golongan mereka - musuh. Setelah kita dekat
padanya, ia lalu mengucapkan: La ilaha illallah. Orang dari sahabat Anshar itu
menahan diri daripadanya - tidak menyakiti sama sekali, sedang saya lalu
menusuknya dengan tombakku sehingga saya membunuhnya.
Setelah kita datang - di Madinah, peristiwa itu sampai kepada Nabi
s.a.w., kemudian beliau bertanya padaku: "Hai Usamah, adakah engkau membunuhnya
setelah ia mengucapkan La ilaha illallah?" Saya berkata: "Ya Rasulullah,
sebenarnya orang itu hanya untuk mencari perlindungan diri saja - yakni
mengatakan syahadat itu hanya untuk mencari selamat, sedang hatinya tidak
meyakinkan itu." Beliau s.a.w. bersabda lagi: "Adakah ia engkau bunuh setelah
mengucapkan La ilaha illallah?" Ucapan itu sentiasa diulang-ulangi oleh Nabi
s.a.w., sehingga saya mengharap-harapkan, bahawa saya belum menjadi Islam
sebelum hari itu - yakni bahawa saya mengharapkan menjadi orang Islam itu mulai
hari itu saja, supaya tidak ada dosa dalam diriku." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain disebutkan: Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bukankah ia telah mengucapkan La ilaha illallah, mengapa engkau membunuhnya?"
Saya menjawab: "Ya Rasulullah, hanyasanya ia mengucapkan itu semata-mata kerana
takut senjata." Beliau s.a.w. bersabda: "Mengapa engkau tidak belah saja
hatinya, sehingga engkau dapat mengetahui, apakah mengucapkan itu kerana takut
senjata atau kah tidak - yakni dengan keikhlasan." Beliau s.a.w.
mengulang-ulangi ucapannya itu sehingga saya mengharap-harapkan bahawa saya
masuk Islam mulai hari itu saja.
393. Dari Jundub bin Abdullah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
mengirimkan sepasukan dari kaum Muslimin kepada suatu golongan dari kaum
musyrikin dan bahawa mereka itu telah bertemu - berhadap-hadapan.
Kemudian ada seseorang lelaki dari kaum musyrikin jikalau menghendaki menuju
kepada seorang dari kaum Muslimin lalu
ditujulah tempatnya lalu
dibunuhnya. Lalu ada seorang dari kaum
Muslimin menuju orang itu di waktu lengahnya. Kita semua memperbincangkan bahawa
orang itu adalah Usamah bin Zaid. Setelah orang Islam itu mengangkat pedangnya,
tiba-tiba orang musyrik tadi mengucapkan: "La ilaha illallah." Tetapi ia terus
dibunuh olehnya. Selanjutnya datanglah seorang pembawa berita gembira kepada
Rasulullah s.a.w. - memberitahukan kemenangan, beliau s.a.w. bertanya kepadanya
- perihal jalannya peperangan - dan orang itu memberitahukannya, sehingga
akhirnya orang itu memberitahukan pula perihal orang yang membunuh di atas,
apa-apa yang dilakukan olehnya. Orang itu dipanggil oleh beliau s.a.w. dan
menanyakan padanya, lalu sabdanya: "Mengapa engkau membunuh orang itu?" Orang
tadi menjawab: "Ya Rasulullah, orang itu telah banyak menyakiti di kalangan kaum
Muslimin dan telah membunuh si Fulan dan si Fulan." Orang itu menyebutkan nama
beberapa orang yang dibunuhnya. Ia melanjutkan: "Saya menyerangnya, tetapi
setelah melihat pedang, ia mengucapkan: "La ilaha illallah." Rasulullah s.a.w.
bertanya: "Apakah ia sampai kau bunuh?" Ia menjawab: "Ya." Kemudian beliau
bersabda: "Bagaimana yang hendak kau perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau
ia telah tiba pada hari kiamat?" Orang itu berkata: "Ya Rasulullah, mohonkanlah
pengampunan - kepada Allah - untukku." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana
yang hendak kau perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada
hari kiamat?" Beliau s.a.w. tidak menambahkan sabdanya lebih dari kata-kata:
"Bagaimanakah yang hendak kau perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah
tiba pada hari kiamat?" (Riwayat Muslim)
394. Dari Abdullah bin Utbah bin Mas'ud, katanya: "Saya mendengar
Umar bin Alkhaththab r.a. bersabda: "Sesungguhnya sekalian manusia itu dahulu
diterapi dengan hukum sesuai dengan adanya wahyu yakni di zaman Rasulullah
s.a.w., dan sesungguhnya wahyu itu kini telah terputus - tidak datang lagi,
sebab Nabi s.a.w. telah wafat. Maka hanyasanya kami - Umar r.a. - menuntut
engkau semua dengan dasar apa yang nampak pada kami iaitu mengenai
perbuatan-perbuatan yang engkau semua lakukan. Jadi barangsiapa yang menampakkan
perbuatan baik pada kami, maka kami berikan keamanan dan kami dekatkan
kedudukannya pada kami, sedang urusan apa yang dalam hatinya tidak sedikitpun
kami persoalkan, kerana Allah akan menghisabnya dalam hal isi hatinya itu.
Tetapi barangsiapa yang menampakkan kelakuan buruk pada kami, maka kami tidak
akan memberikan keamanan padanya dan tidak akan percaya ucapannya, sekalipun ia
mengatakan bahawasanya niat hatinya adalah baik." (Riwayat Bukhari)
-
Keterangannya harap diperiksa dalam Hadis no. 232.
No comments:
Post a Comment