Allah Ta'ala berfirman:
"Dan permusyawaratkanlah dengan mereka - yakni dengan para sahabat -
dalam sesuatu perkara." (ali-lmran:
159)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan perkara mereka itu dimusyawaratkan antara mereka, yakni mereka
itu sama bermusyawarat dalam perkara tersebut." (as-Syura:
38)
715. Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada
kita cara melakukan shalat istikharah - yakni mohon pilihan kepada Allah, mana
yang terbaik antara dua perkara atau beberapa perkara - dalam segala macam
urusan, sebagaimana beliau s.a.w. mengajarkan surat dari al-Quran. Beliau s.a.w.
bersabda:
"Jikalau seseorang dari engkau semua berkehendak pada sesuatu
perkara, maka hendaklah bersembahyang dua rakaat yang tidak termasuk shalat
fardhu, kemudian ucapkanlah - yang ertinya: Ya Allah,
saya mohon pilihan kepadaMu dengan ilmuMu dan saya mohon ditakdirkan - untuk
mendapatkan yang terbaik antara dua atau beberapa perkara - dengan kekuasaanMu,
juga saya mohon kepadaMu akan keutamaanMu yang agung, kerana sesungguhnya
Engkau adalah Maha Kuasa sedang saya tidak kuasa apa-apa, juga Engkau adalah
Maha Mengetahui sedang saya tidak mengetahui dan Engkau adalah Maha Mengetahui
segala sesuatu yang ghaib.
Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa perkara ini memang
baik untuk agamaku, kehidupanku dan akibat perkaraku - atau beliau s.a.w.
menyabdakan: baik untuk urusanku sekarang dan urusanku di kemudian hari, maka
takdirkanlah itu untukku dan permudahkanlah mendapatkannya padaku, selanjutnya
berilah keberkahan padaku dalam urusan itu. Tetapi jikalau Engkau mengetahui
bahawa perkara ini adalah
buruk untuk agamaku, kehidupanku dan akibat perkaraku - atau beliau s.a.w.
menyabdakan: baik untuk urusanku sekarang dan urusanku di kemudian hari, maka
hindarkanlah itu dari
diriku dan hindarkanlah aku
daripadanya, lalu takdirkanlah mana-mana yang baik untukku di mana saja adanya
kebaikan itu dan seterusnya berikanlah keredhaan padaku dengan
melakukan yang baik tadi."
Beliau s.a.w. bersabda: "Dan orang yang melakukan istikharah itu
supaya menyebutkan apa yang menjadi hajat keperluannya." (Riwayat
Bukhari)
No comments:
Post a Comment