Allah Ta'ala berfirman:
"Dan ketika Musa berkata kepada bujangnya: "Saya tidak
akan berhenti berjalan sehingga sampai di pertemuan dua sungai atau aku berjalan
sampai bertahun-tahun sehingga firman Allah: "Musa berkata
kepadanya - yakni Khidhir -: "Bolehkah aku mengikuti engkau dengan maksud supaya
engkau mengajarkan kepadaku kebenaran yang telah diajarkan
kepadamu?” [34] (al-Kahfi: 60-66)
Keterangan:
Orang yang hendak dicari oleh Nabiullah Musa a.s. yang dianggapnya
lebih pandai daripadanya sendiri itu ialah Khidhir. Sebahagian alim-ulama ada
yang mengatakan bahawa Khidhir itu adalah seorang Nabi, ada pula yang
mengatakan, ia seorang waliullah yang memiliki karamah (keistimewaan yang tidak
dapat dilakukan oleh manusia biasa sebagai tanda kemuliaan yang dikurniakan oleh
Allah padanya, jadi sama halnya dengan mu'jizat bagi seseorang Nabi atau Rasul),
juga ada yang mengatakan bahawa ia adalah orang shalih saja. Jadi dalam hal ini
banyak pendapat alim-ulama Islam. Mana yang benar, hanyalah Allah Ta'ala yang
Maha Mengetahui. Juga diperselisihkan pula oleh beliau-beliau itu perihal
kematian atau masih hidupnya Khidhir itu sampai saat ini, hingga tibanya hari
kiamat nanti sebagaimana diperselisihkannya tentang kematian atau masih hidupnya
Nabiullah Isa al-Masih a.s. Tegasnya ada sebahagian ulama yang menyatakan
pendapatnya bahawa kedua beliau itu masih hidup dan baru akan mati nanti setelah
datangnya hari kiamat, tetapi hidupnya Khidhir a.s. di bumi dan Isa a.s. di
langit. Juga ada sebahagian ulama yang menyatakan pendapatnya bahawa keduanya
itu sudah mati. Wallahu A'lam bishshawaab.
Ketika Nabiullah Musa a.s. hendak mencari Khidhir, Allah memberikan
petunjuk kepadanya bahawa tempat Khidhir itu ada di Majma'ul Bahrain
yakni tempat pertemuan dua lautan. Inipun diperselisihkan pula, ada yang
mengatakan bahawa lautan di situ maksudnya dua sungai. Jadi Majma'ul Bahrain,
ertinya ialah pertemuan dua sungai yakni Sungai Nil Biru dan Nil Putih. Ada
pula yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan memang betul-betul pertemuan dua
lautan, yakni lautan Hitam yang dulu masuk wilayah kerajaan Parsi di zaman
kejayaannya dan lautan Tengah yang dulu masuk wilayah kerajaan Romawi di zaman
keemasannya. Jadi kalau Ini yang dianggap benar, maka pertemuan kedua lautan itu
ialah di selat Bospores yang kini masuk wilayah Turki. Namun demikian, semua
pendapat itu masih merupakan serba kemungkinan dan belum
dapat dipastikan
keshahihannya. Wallaahu A'lam
bishshawaab.
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan sabarkanlah dirimu bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka
di waktu pagi dan petang, mereka menginginkan keredhaan Tuhan." (al-Kahfi:
28)
359. Dari Anas r.a., berkata: "Abu Bakar berkata kepada Umar
radhiallahu 'anhuma setelah wafatnya Rasulullah s.a.w.: "Marilah berangkat
bersama kita ke tempat Ummu Aiman [35] agar kita dapat
berziarah padanya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. juga menziarahinya. Setelah
keduanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu keduanya bertanya:
"Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Tidakkah engkau ketahui bahawa apa
yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w.?" Ummu Aiman lalu
menjawab: "Sesungguhnya saya bukannya menangis kerana saya tidak mengerti bahawa
apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik untuk Rasulullah s.a.w. itu, tetapi
saya menangis ini ialah kerana sesungguhnya wahyu itu kini telah terputus dari
langit."
Jawapan Ummu Aiman menyebabkan tergeraknya hati kedua orang tersebut
untuk menangis lalu kedua orang itu pun mulai pula menangis bersama Ummu Aiman."
(Riwayat Muslim)
360. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang
lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah
memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan - yang
dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya:
"Ke mana engkau menghendaki?" Orang itu menjawab: "Saya hendak ke tempat seorang
saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi: "Adakah suatu kenikmatan yang
hendak kau perolehi dari saudaramu itu?" Ia menjawab: "Tidak, hanya saja saya
mencintainya kerana Allah." Malaikat lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini adalah
utusan Allah untuk menemuimu - guna memberitahukan - bahawa sesungguhnya Allah
itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah."
(Riwayat Muslim)
361. Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Barangsiapa yang meninjau orang sakit atau berziarah kepada
saudaranya kerana Allah, maka berserulah seseorang yang mengundang-undang:
"Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat
menduduki tempat dalam syurga."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah
Hadis hasan dan dalam sebahagian naskhah disebutkan sebagai Hadis
gharib.
362. Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w.
bersabda:
"Hanyasanya perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang buruk adalah
sebagai pembawa minyak misik - yang baunya harum - dan peniup perapian - pandai
besi. Pembawa minyak misik ada kalanya memberikan minyaknya padamu, atau engkau
dapat membelinya, atau - setidak-tidaknya - engkau dapat memperolehi
mencium - bau yang harum daripadanya. Adapun peniup perapianmu, maka ada
kalanya akan membakarkan pakaianmu atau engkau akan memperolehi bau yang busuk
daripadanya." (Muttafaq 'alaih)
363. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Seseorang
wanita itu dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana ada hartanya, kerana
keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana teguh agamanya. Maka dari itu
dapatkanlah - yakni usahakanlah untuk memperolehi - yang mempunyai keteguhan
agama, tentu kedua tanganmu merasa puas - yakni hatimu menjadi tenteram."
(Muttafaq 'alaih)
Adapun maknanya Hadis di atas itu ialah bahawasanya para manusia itu
dalam ghalibnya menginginkan wanita itu kerana adanya empat perkara di atas itu,
tetapi engkau sendiri hendaklah menginginkan lebih-lebih yang beragama teguh.
Wanita sedemikian itulah yang harus didapatkan dan berlumbalah untuk
mengahwininya.
364. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi s.a.w. bersabda Jibril
a.s.: "Apakah sebabnya Tuan tidak suka berziarah pada kami yang lebih banyak
lagi - lebih sering - daripada yang Tuan berziarah sekarang ini?" Kemudian
turunlah ayat - yang ertinya: - Dan kami tidak turun melainkan dengan perintah
Tuhanmu. BagiNya adalah apa yang ada di hadapan serta di belakang kita [36] dan apa saja yang ada di antara yang tersebut itu." (Maryam:
64) (Riwayat Imam Bukhari)
365. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w.,
sabdanya: "Janganlah engkau bersahabat, melainkan orang yang mu'min dan
janganlah makan makananmu itu kecuali orang yang bertaqwa." Diriwayatkan
oleh Imam-imam Abu
Dawud dan Tirmidzi dengan isnad yang tidak
mengapa - untuk dijadikan pegangan.
366. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w.
bersabda: "Seseorang itu adalah
menurut agama kekasihnya.
Maka hendaklah seseorang dari engkau semua itu melihat – meneliti
benar-benar - orang yang dijadikan kekasihnya itu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam
Abu Dawud dan Tirmidzi
dengan isnad shahih dan Imam Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis
hasan.
367. Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w.
bersabda:
"Seseorang itu beserta orang yang dicintainya." (Muttafaq
'alaih)
Dalam suatu riwayat lain disebutkan: Abu Musa r.a. berkata: "Nabi
s.a.w. ditanya: "Ada seseorang mencintai sesuatu kaum, tetapi ia tidak pernah
menemui mereka itu, bagaimanakah?" Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Seseorang itu
beserta orang yang dicintainya."
368. Dari Anas r.a. bahawasanya ada seorang A'rab - orang Arab
pedalaman - berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Bilakah datangnya hari kiamat?"
Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: "Apakah yang telah engkau persiapkan untuk
menemuinya?" A'rab itu menjawab: "Kecintaanku kepada Allah dan RasulNya."
Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Engkau akan menyertai orang yang engkau
cintai." (Muttafaq 'alaih)
Ini adalah lafaz Imam Muslim. Dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim
lainnya, disebutkan demikian:
A'rab berkata: "Saya tidak menyiapkan sesuatupun untuk menemui hari
kiamat itu, baik yang berupa banyaknya puasa, shalat atau sedekah, tetapi saya
ini adalah mencintai Allah dan RasulNya."
369. Dari Ibnu Mas'ud r.a. katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada
Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, bagaimanakah pendapat Tuan
mengenai seseorang yang mencintai sesuatu kaum, tetapi tidak pernah menemui kaum
itu?" [37] Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seseorang itu beserta
orang yang dicintainya." (Muttafaq 'alaih)
370. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Para manusia
ini adalah bagaikan benda logam, sebagaimana juga logam emas dan perak.
Orang-orang pilihan di antara mereka di zaman Jahiliyah adalah orang-orang
pilihan pula di zaman Islam, jikalau mereka menjadi pandai - dalam hal agama.
Ruh-ruh itu adalah sekumpulan tentera yang berlain-lainan, maka mana yang
dikenal dari golongan ruh-ruh tadi tentulah dapat menjadi rukun damai, sedang
mana yang tidak dikenalinya dari golongan ruh-ruh itu tentulah berselisihan -
maksudnya ruh baik berkumpulnya ialah dengan ruh baik, sedang yang buruk dengan
yang buruk." (Riwayat Muslim)
Imam Bukhari meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. Al-Arwah dan
seterusnya itu dari riwayat Aisyah radhiallahu 'anha.
Keterangan:
Dalam menafsiri pengertian perihal ruh itu ada yang saling
kenal-mengenal yakni 'Ta'aruf dan ada yang tidak saling kenal-mengenal
yakni Tanakur, maka Imam Ibnu Abdissalam berkata sebagai
berikut:
"Hal itu yakni kenal atau tidak kenal, maksudnya adalah mengenai
keadaan sifat. Ertinya andaikata anda mengetahui seseorang yang berlainan
sifatnya dengan anda, misalnya anda seorang yang berbakti kepada Allah dan yang
dikenal itu orang yang tidak berbakti atau mengaku ketiadaan Allah, sekalipun
kenal orangnya, tetapi tidak saling kenal-mengenal jiwa, ruh ataupun faham yang
dianutnya. Sebaliknya jika orang itu sama dengan anda perihal keadaan sifatnya,
sama-sama berbaktinya kepada Allah, sama-sama berjuang untuk meluhurkan kalimat
Allah, sama-sama membenci kepada kemungkaran dan kemaksiatan, maka selain kenal
orangnya, juga sesuai jiwanya, sesuai ruhnya dan sejalan dalam faham yang
dianutnya. Oleh sebab itu dalam sebuah Hadis lain disebutkan bahawa seseorang
yang merasa jiwanya itu masih lari atau enggan mengikuti ajakan orang yang mulia
dan utama amalannya, pula bagus kelakuannya, hendaknya segera mencari
sebab-sebabnya, sekalipun ia sudah mengaku sebagai manusia muslim. Selanjutnya
setelah penyakitnya ditemukan, hendaknya secepatnya diubati dan dibuang apa yang
menyebabkan ia sakit sedemikian. Cara inilah yang sebaik-baiknya untuk
menyelamatkan diri dari sifat yang buruk, sehingga ruhnya dan jiwanya dapat
saling berkenalan dengan golongan orang-orang yang baik pula ruh dan
jiwanya."
371. Dari Usair bin Amr, ada yang mengatakan bahawa ia adalah bin
Jabir - dengan dhammahnya hamzah dan fathahnya sin muhmalah, katanya: "Umar bin
Alkhaththab ketika didatangi oleh sepasukan pembantu - dalam peperangan - dari
golongan penduduk Yaman, lalu ia bertanya kepada mereka: "Adakah di antaramu
semua seorang yang bernama Uwais bin 'Amir?" Akhirnya sampailah Uwais itu ada di
mukanya, lalu Umar bertanya: "Adakah anda bernama Uwais." Uwais menjawab: "Ya."
Ia bertanya lagi: "Benarkah dari keturunan kabilah Murad dari lingkungan suku
Qaran?" Ia menjawab: "Ya." Ia bertanya pula: "Adakah anda mempunyai penyakit
supak, kemudian anda sembuh daripadanya, kecuali hanya di suatu tempat sebesar
wang dirham?" Ia menjawab: "Ya." Ia bertanya lagi: "Adakah anda mempunyai
seorang ibu?" Ia menjawab: "Ya." Umar lalu berkata: "Saya pernah mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan datang padamu semua seorang bernama Uwais bin 'Amir beserta
sepasukan mujahidin dari ahli Yaman, ia dari keturunan Murad dari Qaran. Ia
mempunyai penyakit supak lalu sembuh dari Penyakitnya itu kecuali di suatu
tempat sebesar wang dirham. Ia juga mempunyai seorang ibu yang ia amat berbakti
padanya. Andaikata orang itu bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah
akan melaksanakan sumpahnya itu - dengan sebab amat berbaktinya terhadap ibunya
itu. Maka jikalau engkau kuasa meminta padanya agar ia memintakan pengampunan -
kepada Allah - untukmu, maka lakukanlah itu!" Oleh sebab itu, mohonkanlah
pengampunan kepada Allah - untukku. Uwais lalu memohonkan pengampunan untuk
Umar. Selanjutnya Umar bertanya lagi: "Ke manakah anda hendak pergi?" Ia
menjawab: "Ke Kufah." Umar berkata: "Sukakah anda, sekiranya saya menulis -
sepucuk surat - kepada gabenor Kufah - agar anda dapat sambutan dan pertolongan
yang diperlukan." Ia menjawab: "Saya lebih senang menjadi golongan manusia yang
fakir-miskin."
Setelah tiba tahun mukanya, ada seorang dari golongan bangsawan Kufah
berhaji, lalu kebetulan ia menemui Umar, kemudian Umar menanyakan padanya
perihal Uwais. Orang itu menjawab: Sewaktu saya tinggalkan, ia dalam keadaan
buruk rumahnya lagi sedikit barangnya -
maksudnya sangat menderita."
Umar lalu berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Akan datang padamu semua seorang bernama Uwais bin 'Amir beserta
sepasukan mujahidin dari ahli Yaman, ia dari keturunan Murad dari Qaran. Ia
mempunyai penyakit supak lalu sembuh dari penyakitnya itu kecuali di suatu
tempat sebesar wang dirham. Ia juga mempunyai seorang ibu yang ia amat berbakti
padanya. Andaikata orang itu bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah
akan melaksanakan sumpahnya itu. Maka jikalau engkau kuasa meminta padanya agar
ia memintakan pengampunan - kepada Allah untukmu, maka lakukan itu!" Orang
bangsawan itu lalu mendatangi Uwais dan berkata: "Mohonkanlah pengampunan -
kepada Allah -untukku. Uwais berkata: "Anda masih baru saja waktunya melakukan
perjalanan yang baik - yakni ibadat haji, maka sepatutnya memohonkanlah
pengampunan untukku." Uwais lalu melanjutkan katanya: "Adakah anda bertemu
dengan Umar?" Ia menjawab: "Ya". Uwais lalu memohonkan pengampunan untuknya.
Orang-orang banyak lalu mengerti siapa sebenarnya Uwais itu, mereka
mendatanginya, kemudian Uwais berangkat - keluar dari Kufah menurut kehendaknya
sendiri." (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Imam Muslim lainnya disebutkan: "Dari Usair bin Jabir
bahawasanya ahli Kufah sama bertemu kepada Umar r.a. dan di antara mereka ada
seorang lelaki yang menghina-hinakan Uwais. Umar lalu bertanya: "Apakah di situ
ada seorang dari keturunan Qaran?" Orang yang dimaksudkan itu lalu datang
padanya. Umar kemudian berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya ada seorang lelaki dari Yaman, akan datang padamu semua. Ia
bernama Uwais. Dia tidak meninggalkan sesuatu di Yaman itu melainkan seorang
ibu. Ia mempunyai penyakit supak, lalu berdoa kepada Allah Ta'ala, lalu Allah
melenyapkan penyakitnya tadi, kecuali di suatu tempat sebesar wang dinar atau
dirham. Maka barangsiapa di antara engkau semua bertemu dengannya, hendaklah
meminta padanya agar ia memohonkan pengampunan - kepada Allah -
untuknya."
Juga disebutkan dalam riwayat Imam Muslim lagi dari Umar, katanya:
"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya sebaik-baiknya kaum tabi'in ialah seorang lelaki
bernama Uwais. Ia mempunyai seorang ibu dan pada tubuhnya ada putih-putih
- kerana penyakit supak,
maka suruhlah ia supaya
memohonkan pengampunan untuk semua."
Sabda Nabi s.a.w. Ghabraan-un nas, dengan fathahnya ghain
mu'jamah, saknahnya ba' serta mad (dibaca panjang ra'nya). Ertinya golongan
manusia yang fakir-miskin dan rakyat jelata atau rendahan dan tidak diketahui
pula dari lingkungan mana sebenarnya orang itu, sedang Al-Amdad adalah jamaknya
Madad, iaitu para penolong dan pembantu yang memberikan pertolongan serta
bantuan kepada kaum Muslimin dalam berjihad atau perjuangan menegakkan agama
Allah.
372. Dari Umar bin Alkhaththab r.a., katanya: "Saya meminta izin
kepada Nabi s.a.w. untuk menunaikan umrah, lalu beliau mengizinkan dan bersabda:
"Jangan melupakan kita, hai saudaraku, untuk mendoakan kita." Beliau s.a.w.
telah mengucapkan suatu kalimat - meminta ikut disertakan dalam doa - yang saya
tidak senang memperoleh seisi dunia ini sebagai gantinya" - maksudnya bahawa
kalimat yang disabdakan oleh beliau s.a.w. bagi Umar r.a. amat besar nilainya
yakni melebihi dari nilai dunia dan seisinya.
Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
373. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Nabi s.a.w.
berziarah ke Quba' [38] sambil berkendaraan serta berjalan,
kemudian beliau bersembahyang dua rakaat." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain disebutkan: "Nabi s.a.w. mendatangi masjid Quba'
setiap hari Sabtu sambil berkenderaan dan berjalan dan Ibnu Umar juga melakukan
seperti itu."
-
Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Kahfi di atas adalah ayat 60, sedang yang di bawahnya adalah ayat 65.
Adapun ayat-ayat yang terletak di antara keduanya itu ialah ayat-ayat
61, 62, 63, 64 dan 65. Kelengkapannya adalah sebagai berikut:
- Sesudah keduanya (yakni Musa dan bujangnya) telah
sampai di pertemuan kedua lautan itu, mereka lupa kepada ikannya (yang dibawa
sebagai bekal), lalu ikan itu melompat mengambil jalannya sendiri di lautan
(61)
-
Setelah keduanya berjalan lebih jauh, ia (Musa) berkata pada bujangnya:
"Ambillah makanan kita, sungguh kita telah merasa lelah sebab (jauhnya)
perjalanan kita ini (62)
- Bujangnya menjawab; "Tidakkah Tuan ketahui bahawa
ketika kita mencari tempat perlindungan (peristirahatan) di batu besar tadi,
saya benar-benar lupa kepada ikan itu dan tiada lain yang menyebabkan saya
terlupa itu selain syaitan jua. Ikan itu lalu mengambil jalannya di lautan. Ini
amat mengherankan sekali untuk mengingatnya (63)
- Ia (Musa) berkata:
"Itulah tempat yang kita cari," kemudian keduanya kembali
mengikuti jejaknya semula (64)
- Lalu keduanya mendapati seseorang dari hamba-hamba
Kami (Tuhan) yang telah Kami berikan kurnia kepadanya iaitu kerahmatan dari sisi
Kami dan Kami ajarkan kepadanya ilmu pengetahuan dari berbagai ilmu yang ada
pada Kami (65)
-
<!--[if !supportFootnotes]--> Ummu Aiman adalah perawat serta pengasuh Rasulullah s.a.w. di waktu kecilnya. Ia adalah seorang hamba sahaya, lalu dimerdekakan oleh beliau s.a.w. setelah beliau s.a.w. dewasa. Suaminya bernama Zaid bin Haritsah. Amat besar penghormatan Nabi s.a.w. terhadap Ummu Aiman itu serta sangat dimuliakan, bahkan beliau s.a.w. pernah bersabda: "Ummu Aiman ummi" ertinya: "Ummu Aiman itu adalah ibuku."
-
<!--[if !supportFootnotes]--> Maksudnya ialah bahawa bagi Allah itu adalah semua yang ada di muka dan di belakang kita serta apa pun yang ada di antara keduanya itu, baik mengenai waktu dan tempat. Oleh sebab itu kita semua ini tidak dapat berpindah dari satu keadaan atau tempat kepada keadaan atau tempat yang lain, kecuali dengan perintah dan kehendak Allah sendiri.
-
<!--[if !supportFootnotes]--> Dalam riwayat Imam Ibnu Hibban ada tambahannya sesudah kata-kata "Walam yalhaq bihim", sedang tambahannya itu berbunyi:
Ertinya:
"Dan orang itu
tidak dapat mengamalkan sebagaimana yang diamalkan oleh kaum yang dicintainya
itu."
-
<!--[if !supportFootnotes]--> Quba' adalah sebuah desa yang jaraknya dari Madinah ada sefarsakh atau kira-kira 5 km. Di situ ada masjidnya yang terkenal, yakni masjid yang didirikan oleh Nabi s.a.w. yang pertama kali, sedang yang kedua ialah masjid Nabawi di Madinah.
No comments:
Post a Comment