Allah Ta'ala berfirman:
"Sesungguhnya Allah menghendaki akan menghilangkan kotoran
daripadamu semua, hai ahlul bait - yakni keluarga Rasulullah - dan membersihkan
engkau semua dengan sebersih-bersihnya." (al-Ahzab:
33)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Dan barangsiapa yang memuliakan tanda-tanda suci - agama Allah, maka
sesungguhnya yang sedemikian itu adalah menunjukkan ketaqwaan hati."
(al-Haj:32)
Keterangan:
Ahli bait Rasulullah s.a.w., yang di dalamnya termasuk pula zurriyah
atau keturunannya dan yang dalam hukum Agama Islam sama sekali tidak boleh
diberi sedekah dan mereka pun haram pula menerimanya apabila diberi, di negeri
kita pada umumnya diberi nama "Sayyid" bagi yang lelaki dan "Sayyidah" bagi yang
wanita. Golongan sayyid atau sayyidah itu adalah dari keturunan
Sayyidina
Hasan r.a. Adapun jika dari keturunan Sayidina Husain r.a., maka
diberi nama "Syarif" bagi yang lelaki dan "Syarifah" bagi yang perempuan. Makna
sebenarnya, sayyid adalah pemuka dari kata Saada Yasuudu, ertinya
mengepalai atau mengetuai, sedang Syarif ertinya adalah orang yang mulia dari
kata Syarufe Yasyrufu, maknanya mulia.
Dalam Hadis yang tertera di bawah ini tercantum suatu anjuran kepada
kita semua, agar kita memuliakan kepada golongan mereka, tetapi ini tidak
bererti bahawa kita tidak perlu memuliakan kepada golongan selain mereka itu.
Perihal penghormatan terhadap siapa pun juga manusianya, tetap wajib. Jadi dalam
hal penghormatan sama sekali tidak ada diskriminasi atau perbezaan, baik
mengenai caranya, menemui atau berhadapan dengannya dan lain-lain lagi. Jadi
jikalau di antara golongan mereka ada yang meminta supaya dimuliakan lebih dari
golongan selain mereka, maka hal itu tidak dapat dibenarkan, sebab manusia yang
termulia di sisi Allah hanyalah yang terlebih ketaqwaannya kepada Allah Ta'ala
itu belaka.
Sebahagian golongan ada yang menggunakan ayat di bawah ini sebagai
nash atau dalil bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh ummatnya agar keturunan
beliau s.a.w. lebih dimuliakan, lebih dihormati dan dialu-alukan daripada
golongan lainnya. Ayat yang digunakan pedoman itu ialah yang
berbunyi:
"Katakanlah - wahai Muhammad! Untuk ajakan itu, aku tidak meminta
upah atau bayaran kepadamu semua, melainkan kekasih sayangan terhadap keluarga".
(asy-Syura:23)
Oleh sementara golongan, keluarga yang wajib dikasih-sayangi ialah
keluarga Rasulullah s.a.w., dengan makna bahawa mereka yang diberi nama Sayyid,
Sayyidah, Syarif atau Syarifah itu wajib lebih dimuliakan dan dihormati melebihi
yang lain. Jadi makna Al-qurbaa dikhususkan kepada keturunan Sayidina
Hasan dan Sayidina Husain radhiallahu 'anhuma yang keduanya itu putera Sayidina
Ali r.a. dan isterinya bernama Sayidatina Fathima radhiallahu 'anha yakni puteri
Rasulullah s.a.w. Tetapi beberapa ahli tafsir menjelaskan bahawa makna dari
lafaz Alqurbaa itu bukan dikhususkan untuk golongan keturunan Sayidina
Hasan serta Sayidina Husain r.a. itu saja. Baiklah kita meneliti sejenak apa
yang dijelaskan dalam Ash-Shawi, sebuah hasyiyah dari Tafsir Jalalain
dan hasyiyah atau kupasan tersebut ditulis oleh Imam Ahmad ash-Shawi
al-Maliki. Di antara kupasannya mengenai lafaz Alqurbaa beliau
berkata:
"Para ahli tafsir sama berselisih pendapat dalam memberikan makna
ayat ini," yang dimaksudkan ialah "kasih-sayang pada keluarga, sehingga jumlah
pendapat itu menjadi tiga macam. Selanjutnya secara ringkasnya beliau
menyatakan:
(a) Kekeluargaan.
(b) Kerabat atau rasa kefamilian antara seluruh kaum
muslimin.
(c) Mentaqarrubkan atau
mendekatkan diri kepada
Allah dengan melaksanakan amal
perbuatan yang baik dan
diredhai olehNya.
Jadi kalau yang digunakan menurut bahagian (a) yakni yang pertama,
maka benarlah bahawa zurriyah Nabi s.a.w. itulah yang dimaksudkan, sebagaimana
juga tertera dalam Hadis di bawah ini, iaitu no. 345.
Namun demikian, kalau ada yang mengatakan bahawa golongan mereka itu
adalah manusia suci dari dosa, ataupun sudah pasti masuk syurga, atau pada akhir
hayatnya pasti memperolehi husnul khatimah atau lain-lain yang bukan-bukan, maka
sama sekali tidak dapat diterima, sebab, memang tidak ada keterangan dalam
al-Quran atau Hadis yang terjamin kebenarannya, sebab suci atau terjaga dari
dosa (ma'shum minadz-dzunub) hanyalah para Nabi 'alaihimush shalatu wassalam,
sedangkan masuk syurga ataupun memperolehi husnul khatimah adalah semata-mata di
dalam ketentuan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Sesudah kita meninjau salah satu kitab tafsir yang ditulis oleh
angkatan tua, kini marilah kita meneliti apa yang ditulis oleh salah seorang
ahli tafsir dari angkatan sekarang atau dalam abad kita ini, iaitu seorang
Sayyid juga yang bernama Sayid Quthb dalam kitabnya yang bernama Fi-Dhilalil
Quran yang ertinya "Di bawah naungan al-Quran." Keringkasan dari huraian
beliau itu adalah sebagai berikut:
"Dalam menyampaikan agama Allah yakni Agama Islam kepada ummatnya
yang dimulainya dengan golongan kaum Quraisy, Nabi s.a.w. mendapat banyak
tentangan dan permusuhan, beliau s.a.w. disakiti dan lain-lain. Padahal yang
melakukan penganiayaan sedemikian itu adalah kaumnya sendiri, kaum Quraisy yang
terdiri dari berbagai bathn atau perkampungan, padahal dalam setiap
bathn dari golongan kaum Quraisy itu beliau pasti mempunyai ikatan
kekeluargaan. Jadi yang diharapkan oleh beliau s.a.w. hendaklah mempunyai rasa
kasih-sayang sebab toh juga masih ada ikatan kekeluargaan yakni
Alqurbaa.
Sayid Quthb tidak memberikan ulasan selain yang diringkaskan di atas
itu.
Wallahu A'lam bish-shawaab.
345. Dari Yazid bin Hayan, katanya: "Saya berangkat bersama Hushain
bin Sabrah dan Umar bin Muslim ke tempat Zaid bin Arqam r.a. Ketika kita sudah
duduk-duduk di dekatnya, lalu Hushain berkata padanya: "Hai Zaid, engkau telah
memperolehi kebaikan yang banyak sekali. Engkau dapat kesempatan melihat
Rasulullah s.a.w., mendengarkan Hadisnya, berperang besertanya dan juga
bersembahyang di belakangnya. Sungguh-sungguh engkau telah memperolehi kebaikan
yang banyak sekali. Cubalah beritahukan kepada kita apa yang pernah engkau
dengar dari Rasulullah s.a.w. Zaid lalu berkata: "Hai anak saudaraku, demi
Allah, sungguh usiaku ini telah tua dan janji kematianku hampir tiba, juga saya
sudah lupa akan sebahagian apa yang telah pernah saya ingat dari Rasulullah
s.a.w. Maka dari itu, apa yang saya beritahukan kepadamu semua, maka terimalah
itu, sedang apa yang tidak saya beritahukan, hendaklah engkau semua jangan
memaksa-maksakan padaku untuk saya terangkan." Selanjutnya ia berkata:
"Rasulullah s.a.w. pernah berdiri berkhutbah di suatu tempat berair yang disebut
Khum, terletak antara Makkah dan Madinah. Beliau s.a.w. lalu bertahmid kepada
Allah serta memujiNya, lalu menasihati dan memberikan peringatan, kemudian
bersabda:
"Amma Ba'du, ingatlah wahai sekalian manusia, hanyasanya saya ini
adalah seorang manusia, hampir sekali saya didatangi oleh utusan Tuhanku - yakni
malaikatul-maut, kemudian saya harus mengabulkan kehendakNya - yakni diwafatkan.
Saya meninggalkan untukmu semua dua benda berat - agung - iaitu pertama
Kitabullah yang di dalamnya ada petunjuk dan cahaya. Maka ambillah amalkanlah -
dengan berpedoman kepada Kitabullah itu dan peganglah ia erat-erat." Jadi
Rasulullah s.a.w. memerintahkan untuk berpegang teguh serta mencintai
benar-benar kepada kitabullah itu.
Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Dan juga ahli baitku. Saya
memperingatkan kepadamu semua untuk bertaqwa kepada Allah dalam memuliakan ahli
baitku, sekali lagi saya memperingatkan kepadamu semua untuk bertaqwa kepada
Allah dalam memuliakan ahli baitku."
Hushain lalu berkata kepada Zaid: "Siapakah ahli baitnya itu, hai
Zaid. Bukankah isteri-isterinya itu termasuk dari golongan ahli baitnya?" Zaid
menjawab: "Ahli baitnya Rasulullah s.a.w. ialah Ahli keluarga keturunan - Ali,
Alu Aqil, Alu Ja'far dan Alu Abbas." Hushain mengatakan: "Semua orang dari
golongan mereka ini diharamkan menerima sedekah." Zaid berkata: "Ya, benar."
(Riwayat Muslim)
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Ingatlah dan sesungguhnya saya meninggalkan kepadamu semua dua benda
berat-agung, pertama ialah Kitabullah. Itu adalah tali agama Allah. Barangsiapa
yang mengikutinya ia dapat memperolehi petunjuk, sedang barangsiapa yang
meninggalkan - mengabaikan - padanya, ia akan berada dalam
kesesatan."
Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Abu Bakar as-Shiddiq
r.a. dalam sebuah Hadis mauquf 'aiaih,
bahawasanya dia berkata: "Intailah Muhammad s.a.w.
dalam ahli baitnya." (Riwayat Bukhari)
Maknanya Urqubuhu ialah jagalah dan hormati serta
memuliakanlah ia, dengan menghormati serta memuliakan ahli baitnya Rasulullah
s.a.w. itu.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment