Allah Ta'ala berfirman:
"Berilah pengampunan, perintahlah kebaikan dan janganlah
engkau menghiraukan kepada tindakan orang-orang yang bodoh." (al-A'raf:
199)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Berilah orang-orang itu maaf yang baik." (al-Hijr: 85) Allah
Ta'ala berfirman lagi:
"Hendaklah mereka memberikan pengampunan dan kelapangan dada.
Tidakkah engkau semua senang jikalau Allah memberikan pengampunan pula
kepadamu?" (an-Nur: 22)
Allah Ta'ala juga berfirman:
"Dan orang-orang yang suka memaafkan kepada orang banyak dan Allah
itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan." (ali-lmran:
134)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Dan nescayalah orang yang berhati
sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang sedemikian itu adalah termasuk
pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan dengan
keteguhan hati." (as-Syura:
43)
Ayat-ayat dalam bab ini banyak sekali dan dapat dimaklumi.
641. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, bahawasanya ia berkata
kepada Nabi s.a.w.: "Adakah pernah datang pada Tuan suatu hari yang lebih sukar
penderitaannya daripada hari peperangan Uhud?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ya, saya
benar-benar pernah menemui peristiwa gawat itu dari kaummu. Sesuatu yang saya
hadapi yang terberat penderitaannya dari mereka itu ialah pada hari 'Aqabah.
Pada suatu ketika saya menawarkan diriku kepada Ibnu Abdi Jalil bin Aban Kulal -
salah seorang terkemuka di daerah Thaif dan kedatangan Nabi s.a.w. ke situ
adalah untuk meminta bantuan. Tetapi ia tidak mengabulkan apa-apa yang saya
kehendaki. Selanjutnya saya pun berangkatlah -
kembali - dan saya dalam keadaan dukacita, nampak di wajahku.
Saya tidak sedar dari keadaan
sedemikian itu melainkan setelah saya berada di Qarnuts Tsa'alib - nama suatu
tempat. Kemudian saya mengangkat kepalaku, tiba-tiba nampaklah suatu awan
yang menaungi diriku. Saya melihat ke atas dan sekonyong-konyong di situ ada Jibril
Alaihis-salam. Ia mengundang saya, lalu berkata: "Sesungguhnya Allah Ta'ala
telah mendengar perihal pembicaraan kaum Tuan kepada Tuan dan bagaimana cara
penolakan mereka atas permintaan Tuan itu. Allah kini mengutus untuk Tuan
malaikat penjaga gunung-gunung supaya Tuan dapat menyuruhnya tentang apa saja
yang Tuan inginkan." Seterusnya malaikat penjaga gunung-gunung itu mengundang
saya, lalu memberi salam terus berkata: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah telah
mendengar apa yang dikatakan oleh kaum Tuan kepada Tuan dan saya adalah malaikat
penjaga gunung-gunung. Tuhanku mengutus saya untuk Tuan agar Tuan menyuruh saya
dengan mematuhi perintah Tuan. Maka apakah kiranya Tuan suka, sekiranya Tuan
menginginkan, jikalau umpamanya saya tutupkan saja atas kaum Tuan itu dua buah
gunung ini?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Bahkan saya mengharapkan agar Allah
mengeluarkan dari tulang rusuk kaumku itu orang yang suka menyembah kepada Allah
yang Maha Esa serta tidak menyekutukan sesuatu denganNya." Jadi tawaran malaikat
penjaga gunung itu tidak diterima, bahkan mendoakan semoga di antara kaumnya itu
ada yang menjadi orang mu'min dan Muslim. (Muttafaq 'alaih)
Al-akhsyaban ialah dua gunung yang
mengelilingi kota Makkah, sedang
al-akhsyab ertinya ialah gunung
besar.
642. Dari Aisyah radhiallahu 'anha pula, katanya: "Rasulullah s.a.w.
itu sama
sekali
tidak pernah memukul dengan tangannya, baik terhadap seseorang wanita ataupun
pelayan, melainkan di waktu beliau s.a.w. sedang berjihad fi-sabilillah - yakni
di medan pertempuran melawan kaum kafir. Tidak pernah pula beliau s.a.w. itu
terkena sesuatu yang menyakiti, lalu memberikan pembalasan kepada orang yang
berbuat terhadap beliau itu, kecuali jikalau ada sesuatu dari larangan-larangan
Allah dilanggar, maka beliau memberikan pembalasan kerana mengharapkan
keredhaan Allah Ta'ala."
(Riwayat Muslim)
643. Dari Anas r.a., katanya: "Saya berjalan bersama Rasulullah
s.a.w. dan beliau mengenakan baju buatan negeri Najran yang kasar tepinya,
kemudian beliau disusul oleh seorang A'rab - penduduk negeri Arab bahagian pedalaman, lalu
ditariklah selendang beliau itu dengan tarikan yang keras sekali. Saya - Anas -
melihat pada tepi leher Nabi s.a.w. dan amat membekas sekali tepi pakaian tadi
kerana amat sangat
ditariknya. Selanjutnya orang A'rab itu berkata: "Ya Muhammad, perintahkanlah
untuk memberikan padaku sesuatu dari harta Allah yang ada di sisi Tuan." Nabi
s.a.w. lalu menoleh pada orang itu terus ketawa dan selanjutnya menyuruh supaya
orang tadi diberi sesuatu pemberian sedekah." (Muttafaq 'alaih)
644. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Seolah-olah - sekarang -saya
masih dapat melihat kepada Rasulullah s.a.w. ketika beliau menceriterakan
seseorang Nabi dari para Nabi-nabi shalawatullah wasalamuhu'alaihim,
iaitu ketika Nabi tadi
dipukul oleh kaumnya, sehingga mereka menyebabkan keluar darahnya dan Nabi itu
mengusap darah tersebut dari wajahnya sambil berdoa: "Ya Allah, ampunilah
kaumku, kerana sesungguhnya
mereka itu tidak mengerti." (Muttafaq 'alaih)
645. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Bukannya orang yang keras - yang terpuji menurut syara' - itu orang
yang menang dalam perkelahian, tetapi yang dinamakan orang keras ialah orang
yang dapat memiliki-menguasai -dirinya di waktu marah." (Muttafaq
'alaih)
No comments:
Post a Comment